Ahad, 18 November 2012

TOKOH ULAMA' KELANTAN: TOK KENALI (1870-1933)



 Tokoh ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dan lain-lain. Guru pondok yang sangat dihormati bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan sebutan ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1870M ini ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani.


Menuntut di Makkah selama 22 tahun. Sangat alim dalam ilmu tatabahasa arab (nahu/soraf), malah beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum ini tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).


Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya penulisan yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis yang berwibawa, bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan.


Antara murid-murid jempolannya termasuklah:


Haji Mat Jebeng, Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot.


Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Hj. Hasan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor), Dato' Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Pattani).


Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri iaitu Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd Saleh Kenali (menetap di Makkah) juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.


Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai negeri Serambi

Mekah
itu sangat berkait rapat dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi hari Ahad, 2 Syaaban
1352H bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.
 

SumberThe Red Warriors Network

Ahad, 4 November 2012

Negeri Kelantan, Seindah Namamu.

 Bangun pagi-pagi , tibo-tibo terus teringat ko kapung halame nun jauh 8jam perjalanan melalui darat disano. Terkenang akan kesantunan warganyo, keenakan makane & minumannyo, kedamaian suasano kapungnyo, keagungan seni & budayanyo, kelicikan budaya niaganyo.

Disana, warganyo tidak terlalu bergantung kepada makan gaji untuk pendapatan bulanan. Tiada bonus dari majikan, tiada punch card untuk pergi dan balik kerja.

Disana, warganyo hampir keseluruhannya menjadi bos sendiri, menjadi tauke sendiri. Menjaja ikan dan barangan dapur dari rumah ke rumah, membajak padi dengan tulang 4 kerat, menoreh getah sendiri seawal jam 6pagi, menjadi buruh binaan dan tukang kayu, membuka kedai runcit dihadapan rumah.

Itulah agungnya bangsa mereka, berusaha sepenuh jaya untuk menyediakan makanan halal untuk anak-anak mereka. Tidak mengharapkan belas ihsan mana-mana pihak untuk dibantu. Hasilnya, anak-anak ini juga berjaya menjadi manusia, memiliki ijazah, memiliki pendidikan hanya melalui didikan kampung dan belanja poket dari menoreh getah saban hari.

Itulah Kelantan nama diberi. Negeri Kelantan, seindah namamu. Negeri unik, rakyatnya berjaya dan seringkali menjadi mangsa hasad dengki kaum sebangsa berpuluh abad lamanya. Namun disana, tiada perbezaan bangsa secara total. Tiada kaum Melayu, tiada kaum Cina, tiada kaum Siam. Disana cuma ada satu bangsa dan bangsa itu digelar bangsa ' Ore Kelate ' . Cukup dengan dengar nama Kelate sahaja, sudah cukup untuk menjadi tonik perpaduan yang utuh. Jika di Malaysia memerlukan 50 tahun untuk menyatupadukan kaum, di Kelantan usaha ini telah diamalkan sejak 50 tahun lalu.

Bersabarlah wahai anak Muda Kelantan. Masa itu pasti akan tiba.

Negeri Kelantan, seindah namamu.

Nukilan Karya :

Pok Dogo
5.40 pagi
Selasa
24 April 2012

( Air mata Pok Dogo mengalir usai sahaja selesai menukilkan tulisan ini. Hebatnya nama KELANTAN )
 
Sumber I KELANTAN