Jumaat, 7 September 2012
RM2 Makan Sampai Kenyang
KUALA KRAI – Dengan hanya RM2.00 pengunjung bebas untuk memakan buah-buahan tempatan sehingga puas. Bukan itu sahaja, sekiranya berhasrat untuk membawa pulang, harga yang ditawarkan juga amat istimewa kerana ia lebih murah daripada harga di pasaran.
Itulah keistimewaan Festival Makanan dan Buah-Buahan Antarabangsa Kelantan yang diadakan selama tiga hari di sini baru-baru ini.
Festival yang menghimpunkan pelbagai jenis makanan dan buah-buahan tempatan itu diadakan khusus sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 dan ia merupakan salah satu daripada 10 program utama pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.
Pada festival tersebut juga orang ramai terutama pelancong asing dapat merasai masakan tempatan yang ada di antaranya amat jarang ditemui pada masa ini.
Malah, sempena acara penutup festival tersebut, pelancong tempatan dan asing dibawa bersama-sama dengan kepemimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaiki kereta api dari Wakaf Bharu hingga ke Kuala Krai.
Ia merupakan serampang dua mata untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini dengan menaiki kereta api di samping memeriahkan festival tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, festival tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelancong dan masyarakat malah ia di luar jangkaan penganjur.
“Program ini amat istimewa, pemilihan Kuala Krai kerana kesesuaiannya yang mempunyai banyak dusun buah-buahan, kita juga mahu mempromosikan daerah ini sebagai kawasan kunjungan pelancong untuk buah-buahan.
“Kuala Krai ini juga amat menarik kerana ia adalah ‘zon lemang’, pada festival ini kita menunjukkan cara lemang dihasilkan bermula peringkat awal sehingga ia dibakar dan orang ramai boleh menikmatinya secara percuma.
“Untuk makluman, pesta buah-buahan ini diadakan bagi mempromosi buah-buahan tempatan dengan tema ‘RM2 Makan Sampai Kenyang’ dan bagi mereka yang mahu membawa pulang ia dijual dengan harga istimewa,” katanya pada majlis Penutup Festival Makanan dan Buah-Buahan Antarabangsa Kelantan.
Tambah Takiyuddin, Kuala Krai juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia satu-satunya kawasan yang mempunyai spesies ikan Krai.
Sementara itu, seorang pelancong dari New Zealand, Raphael Faure, 30, berkata, program tersebut mampu menarik pelancong luar datang ke negeri ini.
Katanya, ia memberikan pengalaman yang berguna kepada mereka untuk merasai sendiri makanan dan buah-buahan tempatan.
“Di tempat kami, makanan dan buah-buahan ini tidak banyak malah suasananya juga amat berbeza. Di sini kami dapat melihat bagaimana masakan tempatan dimasak, rasanya juga enak biarpun ada di antaranya agak pedas.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan. Ia pendedahan yang amat berguna, saya juga suka menaiki kereta api kerana ia membawa kami meneroka suasana sebenar kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Julie Richoz, 27, berkata, pengalaman yang dilalui adalah satu kelainan dan tidak dapat dirasai di negara-negara lain.
“Buah-buahan di sini amat berbeza, sebagai contoh durian, saya tidak katakan ia tidak bagus tetapi ia berbeza.
“Saya berharap satu hari nanti dapat kembali ke sini lagi dan meluangkan masa lebih lama merasai cara hidup sebenar di kampung,” katanya. – Utusan Malaysia
Selasa, 7 Ogos 2012
SHADOW PLAY - INSPIRASI HIDUP MASYARAKAT KELANTAN
|
|
BERCAKAP mengenai wayang kulit, ternyata kebudayaan yang wujud lebih
1,000 tahun dahulu diasimilasi secara berperingkat dari beberapa negara,
sebelum ia meresap ke dalam budaya masyarakat Melayu.
Wayang kulit Melayu yang agak popular di Malaysia rata-ratanya adalah
dari pantai timur Malaysia dengan kebanyakan mempunyai ciri dan
sentuhan Siam.
Antaranya ialah wayang kulit Kelantan atau lebih dikenali sebagai
wayang kulit Siam. Ia dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk
melalui Patani, selatan Thailand.
Dasarnya, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah berdasarkan Hikayat
Ramayana dan penglipur lara tempatan dan disampaikan menggunakan loghat
Kelantan. Antara watak penting ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi,
Maharaja Rawana dan Laksamana.
Sebagai negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, Kelantan
mempunyai persamaan dari segi elemen kebudayaan, sosial dan
sesetengahnya memiliki loghat serta gaya hidup masyarakatnya.
Kekayaan budaya Kelantan
“Berdiri sebagai sebuah negeri yang khusus, Kelantan kaya dengan
kerja kraf, seni, makanan dan bahasa yang sangat unik. Tidak ketinggalan
wayang kulit dan lain-lain seni persembahan yang menjadikan warga
Kelantan bangga dengan siapa diri mereka,” kata seorang penulis buku
bersiri misteri Shadow Play, Barbara Ismail dari Brooklyn, New York,
Amerika Syarikat.
Wanita berdarah Inggeris itu menjadi saksi kepada beberapa
persembahan wayang kulit di Kelantan, khususnya Kota Bahru pada era
tahun 1970-an hingga 1980-an.
Tergerak hati untuk membukukan memori tersebut, novel beliau bukan
sahaja diolah seperti kisah misteri ala Sherlock Holmes, bahkan
menyentuh kehidupan masyarakat Kelantan terutamanya wayang kulit.
Dalam novel itu, Barbara tampil dengan siri penyiasatan penuh
misteri membabitkan watak Maryam, seorang penjual kain songket di pasar
Kota Bharu.
BARBARA (paling kanan) bersama kedua-dua anak perempuannya, Ariell (tengah) dan Jerushah di New York.
Mungkin agak luar biasa untuk menceritakan bagaimana seorang wanita
yang menjual kain di pasar menjadi penyiasat dalam membantu polis
menyelesaikan sebuah pembunuhan melibatkan pemain wayang kulit.
Namun, Barbara ternyata bijak menggunakan watak-watak hidup yang
ditemuinya di Kota Bahru dan memanipulasi secara bijak. Semua garapan
penulisan itu adalah hasil daripada adaptasi diri beliau dalam kalangan
penduduk tempatan.
“Saya belajar di Kolej Hamilton di New York dan menerima falsafah
kedoktoran di Universiti Yale juga di New York. Pengenalan saya dengan
wayang kulit buat pertama kali adalah ketika saya berada di Jawa semasa
belajar dulu.
“Profesor saya, Doug Raybeck seorang antropologis yang belajar di
Kelantan, mengajar saya bahasa Melayu,” kata wanita itu melalui temu
bual e-mel yang dilakukan baru-baru ini.
Fasih berbahasa Melayu tetapi dalam loghat Kelantan, Barbara
terpengaruh dengan Raybeck dalam melanjutkan pendidikan mengenai wayang
kulit Siam di Kelantan.
“Pertama kali saya menonton wayang kulit Siam, saya terus jatuh hati,” katanya.
Ibu kepada dua orang anak, Jerushah, 25 dan Arielle, 21, itu amat
mendalami penceritaan dan persediaan wayang kulit termasuk mempunyai
hubungan rapat dengan tok dalang sehinggalah kepada para penonton
tempatan.
Mengimbas pengalaman menonton wayang kulit, masih segar dalam kotak
fikiran Barbara mengenai persembahan yang melarut hingga lewat malam
itu.
“Ada orang yang melintas ulang-alik di hadapan tabir putih dan urusan
jual beli snek serta kopi berlangsung di tepi pentas. Ada yang duduk,
merokok, berbual-bual dan makan sewaktu persembahan itu. Ia seperti
sebuah majlis keramaian,” ujar beliau yang turut mendirikan rumah tangga
dengan lelaki Melayu.
BARBARA (kiri) bersama salah seorang daripada jiran rapat yang dikenalinya selama lima tahun tinggal di Kelantan.
Pemerhatian Barbara di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkisar
mengenai pengaruh wanita. Wanita tempatan dilihat bukan sahaja cantik
pada rupa, malah amat berkuasa. Laksana ketua dalam keluarga, peranan
mereka merentasi kemahiran berniaga dan menjaga kebajikan ahli keluarga.
Beliau juga berpendapat, golongan lelaki pula digambarkan sebagai
kurang reputasi dalam berniaga lantas lebih suka membantu isteri dan
lepak di kedai-kedai kopi selepas bersara.
“Seperti watak utama novel saya, Maryam, wanita di Kelantan sangat
berbakat, berani dan mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bayang-bayang
lelaki.
“Mungkin juga ia menjadi sebab mengapa Kelantan agak mendahului
statistik perceraian kerana wanita-wanita tidak perlu bergantung kepada
lelaki,” katanya lagi sambil menambah bahawa pada tahun 1970-an,
Kelantan agak ketinggalan dan terasing daripada bahagian barat
Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan.
Keramahan dan kemesraan penduduk di Kelantan juga menambat hati
Barbara dan dia berharap pada suatu hari nanti kedua-dua anak
perempuannya dapat merasai pengalaman yang sama.
Budaya Melayu
Kisah yang dibawa dalam novel Barbara banyak dibantu oleh rakannya, Ijan Shaari.
“Dia membaca draf novel dan banyak membantu dalam penelitian penggunaan bahasa Melayu serta penerangan tentang budaya.
“Jiran saya di Kota Bharu yang ketika itu berusia 12 tahun, Ashikin
Mohd. Ali, turut menawarkan bantuan dalam mendapatkan maklumat mengenai
budaya dan orang Kelantan,” ujarnya Barbara yang menetap sekitar lima
tahun di Kelantan.
Barbara juga amat berterima kasih kepada ramai lagi orang
perseorangan, jiran-jiran dan rakan-rakan beliau di Kelantan yang banyak
membekalkannya dengan pengalaman yang indah tatkala di Kelantan.
“Bryn Barnard, seorang artis yang saya kenali sejak kami di Kelantan
pada tahun 70-an, membaca draf dan memberi komen membina. Pengarang
saya, Richard Lord, memberi idea dalam saya menjayakan novel ini, tidak
dilupakan adik ipar, Shahmim Dhilawala, yang berkerja keras untuk novel
ini,” kata Barbara.
Wanita kulit putih yang lebih menyukai kehidupan fasa perlahan
Kelantan berbanding New York itu turut menggambarkan kebudayaan orang
Melayu khususnya di Kelantan.
“Orang Melayu amat menjaga hati orang lain dalam setiap tindakan dan
percakapan. Di New York, kami cakap sahaja apa yang terlintas, tanpa
memikirkan impak kepada orang lain. Pengalaman di Kelantan membuatkan
saya lebih kemelayuan. Kini saya bercakap, makan, masak, bertindak,
semuanya dipengaruhi resam Kelantan,” katanya bangga.
Walaupun sudah sekian lama tidak melawat Kelantan, negeri itu menjadi
kegemarannya di Malaysia memandangkan, dia masih mempunyai ramai
kenalan di situ selain di Melaka dan Kuala Lumpur.
Merindui pemandangan semula jadi Kelantan dan makanannya seperti nasi
dagang dan kek Kelantan, Barbara mengakui, rasa cintanya terhadap
Kelantan sesuatu yang tidak dapat dipadam begitu sahaja dan akan terus
dihidupkan melalui penulisan buku beliau.
“Saya masih ingat apabila balik ke rumah selepas menonton wayang
kulit, segala-galanya gelap gelita. Apabila mendongak ke atas, saya
dapat lihat awan yang cantik dipenuhi bintang-bintang.
“Tidak mungkin saya mendapat perkara yang sama di New York. Itu adalah kecantikan milik Kelantan,” ujarnya.
SuMbEr : Kosmo
Isnin, 6 Ogos 2012
ASAL USUL NAMA RANTAU PANJANG
"RANTAU PANJANG"
Kepada rakyat Kelantan yang tidak kenal dengan sebuah nama tempat iaitu Rantau Panjang memang tidak layak dipanggil “oghe Kelate”. Sebut saja nama Rantau Panjang, pastu seluruh pelusuk rakyat Kelantan mengenali pekan Rantau Panjang ini. Malahan, orang luar Kelantan juga mengenali pekan ini.
Kepada rakyat Kelantan yang tidak kenal dengan sebuah nama tempat iaitu Rantau Panjang memang tidak layak dipanggil “oghe Kelate”. Sebut saja nama Rantau Panjang, pastu seluruh pelusuk rakyat Kelantan mengenali pekan Rantau Panjang ini. Malahan, orang luar Kelantan juga mengenali pekan ini.
Perkataan Rantau Panjang yang dinamakan sempena
barisan ataupun susun atur rumah panjang yang telah dibina ketika zaman
pembinaan keretapi di Kelantan. Ini kerana rumah yang dibina ketika itu
sangat panjang, makan sesuailah ia dinamakan Rantau Panjang dan nama itu
kekal hingga ke hari ini.
Rantau Panjang adalah sebuah bandar dan juga kawasan parlimen di Kelantan yang terletak berhampiran dengan Sempadan Malaysia-Thailand. Merentasi sempadan Sungai Golok, Thailand.
Shopping -shopping juga,bila dah azan,jangan lupa menunaikan solat di Masjid Beijing,Rantau Panjang,Kelantan.
Sumber: Warisan Kelate Kito
Ahad, 8 Julai 2012
Jom Gi Kelantan International Bike Week 2012
TARIKH : 6,7 & 8 JULAI 2012.
LOKASI : PERKARANGAN STADIUM SULTAN MOHD KE 4.
PENDAFTARAN : RM50 – 2 HELAI T SHIRT,GOODIES BAG,RIDES,
LUNCH,GRAND DINNER(LUCKY DRAW-3 BUAH MOTOSIKAL BERKUASA 125cc-150cc
DAN BANYAK LAGI).
ANJURAN : KERAJAAN NEGERI KELANTAN.
ATURCARA PROGRAM:
6 JULAI :3ptg-12mlm-
- PENDAFTARAN PESERTA & GOODIES BAG. (DIIRINGI PALUAN REBANA UBI,DIKIR BARAT,WAYANG KULIT DLL).
7 JULAI :8.30pg-9pg
- PESERTA BERKUMPUL DITAPAK EVENT
- UCAPAN PERASMIAN & PELEPASAN KONVOI OLEH YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA MENTERI BESAR KEL
- RIDES KE RANTAU PANJANG(MASJID BEIJING)-KE R.PANJANG FREE DUTY(SHOPPING)-KE TUMPAT(SLEEPING BUDDHA)-
- LUNCH DIPANTAI SRI TUJUH
- PULANG KE KOTA BHARU.
2ptg-8mlm-FREE & EASY.
8.15mlm-11.00mlm
- GRAND DINNER DI DEWAN JUBLI MPKB PADANG PERDANA(BERDEKATAN STADIUM)
- UCAPAN,PERSEMBAHAN,CENDERAHATI KEPADA KELAB KELAB & YG PALING SPECIAL LUCKY DRAW(3 BUAH MOTOSIKAL 125-150cc,TV PLASMA 32″,HELMET,RIDING BOOT, JACKET,PORCH BAG,SADDLE BAG,ENGINE OIL DAN LAIN LAIN).
8 JULAI : 9pg
- BIKERS BERANGKAT PULANG.
SEMPENA DGN TAHUN MELAWAT KELANTAN
2012(TMK 12), MARILAH KITA SEMUA MEMERIAHKANNYA DEMI UNTUK MEMARTABATKAN LAGI
DUNIA PEMOTORAN TANAHAIR.
Untuk pendaftaran dan pertanyaan,
sila hubungi : En. Baihaki Muhammad 0179780020 atau Che Sue 0139975799
Sabtu, 7 Julai 2012
JOM GI FESTIVAL FLORA KELANTAN 2012
Festival Flora Kelantan 2012 diadakan di Taman Orkid Tengku
Anis, Jalan Pak Nik Lah, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan sempena Tahun
Melawat Kelantan 2012. Tema Festival ini ialah " Orkid : Anggun Mempesona
". Festival ini bermula pada 4 Julai dan akan berakhir pada 10 Julai 2012,
dibuka bermula 10.00 pagi hingga 11.00 malam.
Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa festival ini ialah :
Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa festival ini ialah :
- Pertandingan Orkid
- Pertandingan Bongsai dan Gubahan
- Pertandingan Mewarna
- Pertandingan Fotografi dan Memancing
- Pertandingan Bunga Kertas dan Bunga Aromatik
- Gerai Nurseri/ Landskap dan Jualan
- Gerai Pameran Agensi Kerajaan dan Swasta
- Persembahan Kebudayaan
Antara foto-foto yang sempat
dirakam......
Kepada mereka yang belum lagi menjejakkan kaki ke sini,Jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis Orkid dipamerkan dan pelbagai aktiviti jualan dan pertandingan diadakan sepanjang Festival ini berlangsung sebelum ia melabuhkan tirainya pada 10 Julai 2012 nanti.
Sabtu, 30 Jun 2012
JOM TENGOK KELANTAN INTERNATIONAL BOXING CHALLENGE 2012
12 negara sertai kejohanan tomoi Siam
KOTA BHARU — Sebanyak 34 peserta dari 12 negara, termasuk jaguh
antarabangsa, akan menyertai kejohanan tiga hari tomoi Siam antarabangsa ”Royal
Kelantan International Boxing Challenge 2012” di Stadium Sultan Muhammad IV di
sini yang bermula Hari ini,1-3 Julai 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri,
Datuk Takiyuddin Hassan berkata, negara yang mengambil bahagian ialah Malaysia,
Myanmar, Australia, Algeria, China, Thailand, Belanda, New Zealand, Iran, Costa
Rica, England dan Ireland.
Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini,
beliau berkata, walaupun pernah diadakan beberapa kali sebelum ini, namun tahun
ini kejohanan berkenaan diadakan khusus sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK)
2012.
Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu super fight, title belt dan special
fight.— BERNAMA
Isnin, 4 Jun 2012
Jom ke Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Kali Ke-30.
Pesta Wau Antarabangsa Kelantan pada tahun 2012 akan di berlangsung pada 5-9 Jun 2012 di Pantai Geting Tumpat Kelantan.
Pesta ini diadakan setiap tahun di Kelantan yang sudah masuk kali yang ke – 30. Tahun ini dijangka lebih meriah kerana bersempena dengan Tahun Melawat Kelantan 2012.
Pelbagai acara menarik menanti anda. Yang pasti, pesta ini akan disertai oleh peserta dalam dan luar negara.
Saksikanlah pelbagai jenis wau yang dipersembahkan oleh peserta antarabangsa mahupun tempatan.
Wau tradisi seperti wau bulan, wau merak, wau kucing, wau jalabudi dan lain-lain lagi boleh disaksikan.
Selain wau tradisi, anda boleh menikmati layang-layang moden yang sememangnya membuatkan pesta ini lebih meriah dengan corak dan rekabentuk warna-warni dan penuh kreatif.
Jika anda bercuti di Kelantan pada tarikh tersebut, jangan lepaskan peluang ini.
Untuk acara lengkap, klik gambar di bawah.
Keterangan lanjut, hubungi:
Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan atau layari www.tic.kelantan.gov.my
Kredit : www.facebook.com/tic.kelantan
Langgan:
Catatan (Atom)

















