Jumaat, 7 September 2012

RM2 Makan Sampai Kenyang


KUALA KRAI – Dengan hanya RM2.00 pengunjung bebas untuk memakan buah-buahan tempatan sehingga puas. Bukan itu sahaja, sekiranya berhasrat untuk membawa pulang, harga yang ditawarkan juga amat istimewa kerana ia lebih murah daripada harga di pasaran.
Itulah keistimewaan Festival Makanan dan Buah-Buahan Antarabangsa Kelantan yang diadakan selama tiga hari di sini baru-baru ini.

Festival yang menghimpunkan pelbagai jenis makanan dan buah-buahan tempatan itu diadakan khusus sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 dan ia merupakan salah satu daripada 10 program utama pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Pada festival tersebut juga orang ramai terutama pelancong asing dapat merasai masakan tempatan yang ada di antaranya amat jarang ditemui pada masa ini.

Malah, sempena acara penutup festival tersebut, pelancong tempatan dan asing dibawa bersama-sama dengan kepemimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaiki kereta api dari Wakaf Bharu hingga ke Kuala Krai.

Ia merupakan serampang dua mata untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini dengan menaiki kereta api di samping memeriahkan festival tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, festival tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelancong dan masyarakat malah ia di luar jangkaan penganjur.

“Program ini amat istimewa, pemilihan Kuala Krai kerana kesesuaiannya yang mempunyai banyak dusun buah-buahan, kita juga mahu mempromosikan daerah ini sebagai kawasan kunjungan pelancong untuk buah-buahan.

“Kuala Krai ini juga amat menarik kerana ia adalah ‘zon lemang’, pada festival ini kita menunjukkan cara lemang dihasilkan bermula peringkat awal sehingga ia dibakar dan orang ramai boleh menikmatinya secara percuma.

“Untuk makluman, pesta buah-buahan ini diadakan bagi mempromosi buah-buahan tempatan dengan tema ‘RM2 Makan Sampai Kenyang’ dan bagi mereka yang mahu membawa pulang ia dijual dengan harga istimewa,” katanya pada majlis Penutup Festival Makanan dan Buah-Buahan Antarabangsa Kelantan.

Tambah Takiyuddin, Kuala Krai juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia satu-satunya kawasan yang mempunyai spesies ikan Krai.

Sementara itu, seorang pelancong dari New Zealand, Raphael Faure, 30, berkata, program tersebut mampu menarik pelancong luar datang ke negeri ini.

Katanya, ia memberikan pengalaman yang berguna kepada mereka untuk merasai sendiri makanan dan buah-buahan tempatan.

“Di tempat kami, makanan dan buah-buahan ini tidak banyak malah suasananya juga amat berbeza. Di sini kami dapat melihat bagaimana masakan tempatan dimasak, rasanya juga enak biarpun ada di antaranya agak pedas.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan. Ia pendedahan yang amat berguna, saya juga suka menaiki kereta api kerana ia membawa kami meneroka suasana sebenar kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Julie Richoz, 27, berkata, pengalaman yang dilalui adalah satu kelainan dan tidak dapat dirasai di negara-negara lain.

“Buah-buahan di sini amat berbeza, sebagai contoh durian, saya tidak katakan ia tidak bagus tetapi ia berbeza.

“Saya berharap satu hari nanti dapat kembali ke sini lagi dan meluangkan masa lebih lama merasai cara hidup sebenar di kampung,” katanya. – Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan